Saturday, April 3, 2010

Sukan Sekolah Diperkasa 2011

Kementerian Pelajaran memutuskan pelaksanaan beberapa langkah bagi memperkukuhkan pembangunan sukan di sekolah mulai tahun 2011. Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut:
1. Menjadikan kegiatan sukan sebagai satu bahagian khusus yang mempunyai pengarah dan timbalan pengarah yang akan dilantik seramai empat orang, di samping memisahkan bahagian sukan yang sebelum ini dicantum dengan seni dan kokurikulum.
2. Pemarkahan kepada pelajar yang menyertai aktiviti sukan adalah lima peratus berbanding 10 peratus yang diperuntukkan di bawah aktiviti kokurikulum sebelum ini yang tidak memberikan sebarang penekanan terhadap sukan.
3. Dasar 1Murid 1Sukan akan dikuatkuasakan.
4. Penambahan tenaga kerja seperti guru khas untuk melaksanakan pembangunan sukan di sekolah yang akan dibuat secara berperingkat.
5. Peruntukan untuk aktiviti sukan juga akan ditambah bagi setiap pelajar iaitu RM4 bagi pelajar sekolah rendah dan RM6 untuk pelajar sekolah menengah.
6.Sukan diajar dalam jadual waktu persekolahan tanpa menjejaskan waktu pembelajaran akademik dan tidak membabitkan keperluan untuk memanjangkan waktu persekolahan.
Langkah Kementerian Pelajaran ini satu titik permulaan untuk membangunkan sukan pada peringkat akar umbi terutamanya di sekolah. Walau bagaimanapun, langkah ini perlu sokongan dan komitmen penuh daripada pihak pentadbir sekolah, di samping guru-guru yang diberi kepercayaan mengendalikan/mengajar sukan tersebut. Selain itu, kita juga perlu mengambil kira semua aspek yang pelajar perlukan supaya langkah pembangunan sukan tercapai sepenuhnya.